Sabtu, 10 April 2010

"HaRi PeRtUnAnGaNkU..."

"Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam..."



Baru
beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku
sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku
berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir
saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam
jatuh ke dalam gaung.

Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan
aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah
dengan tabah.Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang
teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku
juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia
lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli
mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku
bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa
bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti
manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir
al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam
berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi
pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam.
Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan,
jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku
juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara
ini.Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji
wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila
melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya
tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan.

Diam ku bukan
membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku
belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia
dalam penantian.Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila."Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."
"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."
"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."
Ibu angguk perlahan.Beberapa
hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah
yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama...
Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku
menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang
menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia
tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang
lagi. Mudah-mudahan ya Allah...

Sejak hari pertunangan itu, aku
semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang
aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti
hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah
yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku
adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar,
aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik
pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.
"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih
mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian
sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan
keluarga.
"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama.
"Berita
itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku
senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"
Aku
hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah
senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia
apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan
Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang
aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku
mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap
dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.
"Bila enti menikah?
"Aku tiada jawapan khusus.
"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..."
Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.
"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.
"Kalau
enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!"
Itu saja pesanku..

Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan
pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan
terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.
"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."
Rahsia
ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan
tarikhnya..

Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung
aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti
orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku
katakan sekali lagi kepada ibu...
"Usah berlebihan ya..."
Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.
"Insyirah, jom makan!"
Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.
"Tafaddal, ana puasa."
Sahabiah juga semakin galak mengusik.
"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"
"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga
kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat,
bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh
debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus
mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku,
itu sahaja....

.........................................."inna lillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."
"Ya Allah, tenangnya..."
"Moga Allah memberkatinya...."
Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu. Akhirnya,
aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai
yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.
Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku. Dalam sedar tidak sedar...

Hampir
setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara
sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya
pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih.
Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.
"Ya Allah,
telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan
dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang
menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang
alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku
hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan.
Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"
Ibu
tenang menjawab...
"Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang
mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada
tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa
minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."
"Allahuakbar..."
Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.
"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."
Ibu
angguk, tersenyum lembut...
"Ini nak, bukunya "
Senaskah buku bertukar
tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam
Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."
"Dan
sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa.
Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."
Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu
cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan
aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada
ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama
Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu
dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari
namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan
setabah hati seorang ibu."

* Kisah ini bukan kisah ana (Hidayah), ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *

Mulai
hari ini, jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana
sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan
dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi,
sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama
akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik
untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN.....

Wallahua'lam...
Cukuplah kematian itu mengingatkan kita...
Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia...
Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal,oleh itu sentiasalah berwaspada...

Bimbang menikah tergesa-gesa,tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga...

Setidak-tidaknya, (watak di atas) sudah 'membeli' baju pernikahannya...
Arh...Untungnya... (Cemburu! Cemburu! Cemburu!)

13 ulasan:

Najihah berkata...

salam,

alahai,ingtkan abg rafi yang tunang,saje je bg orang saspen..tapi,klau dah tunag nnti,jgn lupa, jemput jiha taw,jiha psti dtng untuk hri istiimwa kwan jiha..

Muhammad Rafieudin bin Zainal Rasid berkata...

w'salam...
hehehe..
saja buat camni, baru orang tertarik nak baca..
of cos la ajak jiha cos itu pun hari istimewa buat jiha jugak! hehehe..

Ehm..ambillah intipati kisah ni..moga jadi tauladan buat kita bersama..
(^_^)

Redz91 berkata...

Salam,
tajuk nak gempak je....haha....
ingatkan ko nak brtunang, terkejut jgak aku...
nak bertunang nanti, jangan lupakan aku pulak ye...


---
suatu masa nnt.....kita pasti akan dirisik, prtunangan azali bakal berlaku.......dhujung kehidupan nanti, bakal berlangsung satu perkahwinan dengan maut, hantarannya sakit dan nazak.. tetamu bertandang menghadiahkan tangisan . pengantin dimandikan , dipakaikan baju putih.wangian gaharu cendana menjadi pelamin, pengantin bersanding sendirian, diarak keliling kampung...ke rumah bertiang dua.

--

mudah2an kita sama2 saling ingat-mengingati antara satu sama lain....kita hidup ni hanya sementara, banyakkanlah mengingati mati, mudah-mudahan kita x trgolong dlm golongan org2 yg lalai.....

Wallahu'alam

Muhammad Rafieudin bin Zainal Rasid berkata...

Hehe..saja nak bagi gempak!
baru orang tertarik nak baca..huhu..

Syukran ya..
sama2 saling mengingatkan...
(^_^)

fadhlina berkata...

Nice entry!!!

Entah esok entah lusa, masa kita akan datang juga. Takutnya. Terima kasih ya Rabb kerana diri masih diberi masa untuk bernafas. Syukur.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali Imran: 185).

Muhammad Rafieudin bin Zainal Rasid berkata...

Thanks...

Sama2 la kita persiapkan diri dgn amalan yg diperintah-Nya...

Terima kasih sekali lagi atas maksud ayat kat atas..sama2 kita muhasabah diri...

Werdah berkata...

Salam.

Makcik pun ingat Rafie yang bertunang.. rupa-rupanya peringatan untuk kita semua.

Kematian datang dengan tiba-tiba, dia datang tepat pada waktu, tidak terlewat barang sedikitpun merenggut nyawa dengan paksa, melenyapkan segala kenikmatan, dia tidak memilih tua ataupun muda, kaya atau miskin, sihat mahupun sakit.. dia datang untuk mengeluarkan manusia daripada putaran kehidupan yang selama ini dijalani.

Mudah2an kita mengambil pengajaran dan menghayati kisah pertunangan ini.

Mr Dean berkata...

W'salam..

Owh, yeke.. hehe..

Yup! Soal jodoh, nasib, ajal maut semuanya adalah ketentuan-Nya yg disembunyikan dari kita..
Sama2 la kita mempersiapkan diri agar sentiasa teguh di atas jalan kebenaran! Allahuakbar!~

Siti Athirah binti Hasanul basori berkata...

la,mr dean ni teruk la...
best citenya..wat gempak je!hahaha
pepon tahniah dapat menarik perhatian pembaca :)
masa baca mmg keliru!hahaha

Mr Dean berkata...

Siti: la..itulah..
kena baca sampai habis baru faham...hehe..

Tanpa Nama berkata...

bukan cerita ini dari blog niqobgirl.blogspot.com tu ke?


kenapa x buat cerita sendiri...

puteri berkata...

Sebuah kisah yang menarik.penuh dengan emosi yang mengajak pembaca untuk terus membaca hingga ke titik terakhir.

Sesuai di baca untuk semua golongan remaja dan orang dewasa yang hanya meletakkan CINTA pada manusia serta individu yang mendambakan CINTA.

Mr Dean berkata...

Anynomous: ya, betul tu.. tapi tak salahkan menyebarkannnya.. lagipun dah minta izin pada tuan empunya...

Puteri: Alhamdulillah.. penulis cukup menghayati jalan ceritanya..