Selasa, 18 Mei 2010

"AnJiNg MuSaFiR..."

"Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam..."


Diceritakan bahawa pada suatu hari Abdullah bin Jaafar*
sedang berpergian. Ketika sampai di sebuah kebun kurma milik seseorang,
dia berhenti untuk beristirehat. Didapatinya di situ ada seorang
hamba abdi berkulit hitam yang menjaga kebun kurma tersebut.

Tiba-tiba hamba abdi itu mengeluarkan bekalnya untuk makan yang berupa tiga potong makanan. Seekor anjing datang menghampirinya dan berpusing-pusing
berhampiran si hamba sambil menyalak sebagai tanda ingin merasa
makanan itu. Lidahnya pun dihulur-hulurkannya keluar.


Hamba abdi yang peka itu mencampakkan sepotong
makanannya ke arah anjing dan dimakannya. Kemudian dicampakkannya
pula sepotong lagi dan dimakannya pula. Ternyata anjing itu masih
belum mahu lari juga. Maka hamba abdi itu mencampakkan lagi makanannya
untuk ketiga kalinya dan dimakannya lagi. Maka habislah semua
bekal si hamba kerana diberikan kepada anjing yang datang.


Abdullah bin Jaafar yang melihat perkara itu
sangat hairan, kerana si hamba telah memberikan semua makanannya
kepada anjing.
“Wahai anakku, berapa banyakkah makananmu sehari di tempat ini?”
Tanya Abdullah bin Jaafar.
“Tiga potong saja yang kesemuanya telah dimakan anjing tadi.”
Jawab si hamba.
“Mengapa engkau berikan semua kepada anjing itu? Dan engkau sendiri
akan makan apa?” Tanya Abdullah.
“Wahai tuan. Tempat ini bukanlah kawasan anjing. Jadi aku yakin
dia datang dari tempat yang jauh, sedang bermusafir dan tentu
dia sangat lapar. Sedang aku sendiri, biarlah tidak makan hari
ini sehingga esok.” Jawab si hamba.
Mendengar itu, Abdullah berseru: “Subhanallah. Bagus...bagus!
Ternyata hamba itu lebih dermawan daripada saya.”


Kerana rasa terharunya dan merasa kedermawanannya
masih dikalahkan oleh seorang hamba hitam, Abdullah bin Jaafar
membeli kebun kurma dan hamba abdi itu dari tuannya. Kemudian
dia memerdekakan si hamba, dan kebun kurma itu diberikan kepadanya.
Setelah itu, dia pergi meninggalkan tempat itu untuk meneruskan
perjalanannya...



(*) Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib
lahir di Negeri Habsyah ketika umat Islam sedang berpindah ke sana
dengan dipimpin oleh ayahnya Jaafar bin Abi Talib. Dialah keluarga
Bani Hasyim yang paling akhir melihat Rasulullah SAW. Ketika Nabi
SAW membai'atnya, Abdullah bin Jaafar baru berumur tujuh tahun, turut
bersama dalam baiat itu Abdullah bin Zubair yang umurnya juga baru
tujuh tahun.

Abdullah bin Jaafar memang terkenal sangat dermawan. Dia pernah
bersedekah sehingga beribu-ribu dinar dalam satu masa, enam puluh
ribu, empat puluh ribu dinar dan lain-lain. Muawiyah sangat suka
kepadanya dan memberinya satu juta dirham setiap tahun. Abdullah
bin Jaafar wafat pada tahun 83 Hijrah.

p/s: Bersedekah itu boleh menolak bala yang bakal menimpa ke atas penderma dan sedekah itu juga menjadi penghalang diri dari menjadi bahan bakar api neraka kelak... ~ Baginda SAW~

3 ulasan:

Werdah berkata...

Salam,

Cerita-cerita seperti ini harus dibaca oleh semua bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Diharapkan bertambah ramai yang minat ttg perjalanan hidup ahli-ahli sufi terdahulu yang mementingkan akhirat daripada dunia. Dan jika dia menguasai dunia digunakan untuk menunju akhirat.

Unknown berkata...

Salam,

Subhanallah, betapa pemurahnya mereka, langsung tiada sifat mementingkan diri sendiri....
Kalaulah manusia zaman sekarang semuanya bersifat macam tu, yg kaya berkongsi kekayaan dengan yg miskin, alangkah indahnya....tiadalah berlaku penindasan....

Mr Dean berkata...

Salam,

Benar semua tu! Kisah ahli2 sufi wajar kita jadikan iktibar dan perlu kita terokai...
Zaman kini, sukar nak mencari orang yg sedemikian rupa.. kadang kita sendiri pun sukar nak mengeluarkan derma sebab memikirkan pelbagai kekangan yg lain... Moga kita dapat muhasabah diri...
(^_^)